KOTA BHARU – Segelintir anggota polis di Kelantan didakwa menjadikan penagih dadah yang ditahan ketika rondaan sebagai sumber mendapatkan wang dengan meminta bayaran sebagai balasan untuk tidak membawa mereka ke lokap.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai tindakan tidak bertanggungjawab beberapa anggota yang dipercayai melakukan pemerasan terhadap individu ditahan ketika menjalankan tugas di lapangan, lapor Kosmo.

Menurut beliau, terdapat anggota yang didakwa meminta sejumlah wang daripada penagih dadah sebagai syarat untuk melepaskan mereka daripada tindakan lanjut.

“Ada saya dapat maklumat, anggota polis membuat penagih dadah seperti ATM bergerak. Mereka pegang penagih dadah dan sekiranya mahu lepas dan tidak diheret ke lokap, perlu membayar sejumlah wang,” katanya.

Beliau berkata, selain penagih dadah, golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga dipercayai menjadi sasaran anggota tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang selepas ditahan.

Sehubungan itu, Mohd. Yusoff memaklumkan beliau telah memberi peringatan kepada 56 ketua balai polis di negeri itu supaya memantau anggota yang bertugas di lapangan bagi mengelakkan berlakunya pemerasan.

Katanya, berdasarkan maklumat awam, terdapat anggota polis yang dipercayai menerima bayaran sehingga RM1,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penagih dadah.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan memberi dan menerima rasuah merupakan satu kesalahan serta boleh menjejaskan usaha pemulihan individu terlibat penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, dilaporkan seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 daripada seorang warga asing sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading