NEW YORK – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka memperoleh pendapatan sehingga AS$15 bilion (RM61.4 bilion) menerusi penganjuran Piala Dunia 2026, jauh melebihi unjuran awal sebanyak AS$11 bilion (RM45 bilion).
Presiden FIFA, Gianni Infantino dilaporkan memaklumkan angka berkenaan kepada ahli gabungan badan induk bola sepak dunia itu menjelang aksi final kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Peningkatan hasil tersebut didorong oleh kutipan jualan tiket serta pakej hospitaliti yang mendapat sambutan tinggi sepanjang kejohanan yang bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah Piala Dunia.
Selain itu, FIFA turut mendapat pendapatan tambahan menerusi sistem jualan semula tiket di platform rasmi yang tidak menetapkan had harga, selain mengenakan komisen 15 peratus kepada penjual dan pembeli bagi setiap transaksi.
Piala Dunia 2026 turut menyaksikan perubahan besar apabila jumlah pasukan meningkat kepada 48 berbanding 32 pasukan sebelum ini, sekali gus menambah jumlah perlawanan daripada 64 kepada 104 aksi.
Pertambahan pasukan dan perlawanan itu membuka lebih banyak peluang kepada FIFA untuk menjana pendapatan melalui penjualan tiket, hak komersial serta pakej hospitaliti di lokasi penganjuran.
Sebagai perbandingan, FIFA merekodkan pendapatan AS$5.769 bilion (RM23.6 bilion) ketika Piala Dunia 2022 di Qatar, menjadikan edisi 2026 berpotensi muncul sebagai kejohanan paling menguntungkan dalam sejarah badan bola sepak dunia itu.
–Agensi


Leave a Reply