SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kedudukan lapan menteri dan tujuh timbalan menteri daripada parti itu dalam Kerajaan Persekutuan adalah tertakluk sepenuhnya kepada kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk mana-mana menteri daripada BN meletakkan jawatan susulan kenyataan Perdana Menteri yang mengingatkan anggota pentadbiran kerajaan agar tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, pelantikan, penamatan atau rombakan barisan Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri sekiranya beliau merasakan tindakan itu perlu dilakukan.

“Tidak perlu suruh letak jawatan kerana yang melantik menteri-menteri ini ialah Perdana Menteri. Kalau beliau tidak suka, pecat sahajalah. Tetapi saya percaya tidak sampai hati kerana kami semua bekerja bersungguh-sungguh dan menjalankan tugas dengan baik.

“Itu adalah kuasa Perdana Menteri. Apa yang berlaku sekarang adalah kempen pilihan raya negeri. Di Putrajaya, kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan tidak terusik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Pantai, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan atau kritikan yang dilontarkan sepanjang kempen PRN hanya membabitkan persaingan politik di peringkat negeri dan tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menyifatkan penyertaan pemimpin BN dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai bukti pengalaman parti itu dalam mengurus serta mentadbir negara.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading