SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 23 tahun maut dalam kejadian dipercayai langgar lari ketika sedang memasang bendera parti di Jalan Kuala Sawah-Rantau, berhampiran Kampung Belangkan, pada petang Ahad.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu dipercayai melibatkan sebuah lori yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau bagi menjalankan kerja-kerja memasang bendera parti sebelum dirempuh sebuah lori.
Beliau berkata, lori berkenaan dipercayai melanggar tiang papan tanda serta mangsa yang berada di tepi jalan sebelum pemandunya bertindak meninggalkan lokasi sejurus selepas kejadian.
Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kini sedang mengesan pemandu lori terbabit selain mendapatkan maklumat daripada saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794, Bilik Gerakan IPD Seremban di 06-6033222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.


Leave a Reply