KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin diberitahu bahawa terdapat dua transaksi pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun FashionValet Sdn Bhd ke akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd yang berlaku pada 21 Ogos 2018.

Memetik laporan Harian Metro, Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Azizan Hassan, 45, mengesahkan semakan terhadap penyata akaun CIMB milik 30 Maple mendapati wang berjumlah RM5 juta dan RM3 juta dipindahkan secara dalam talian daripada akaun Public Bank milik FashionValet.

Beliau berkata, transaksi pertama membabitkan kemasukan RM5 juta direkodkan sebagai wang pendahuluan (advances) daripada FashionValet kepada 30 Maple, ketika baki akaun syarikat itu berjumlah RM2,678,853.48. Pada hari yang sama, satu lagi transaksi sebanyak RM3 juta dengan deskripsi yang sama turut direkodkan.

Azizan turut mengesahkan akaun semasa 30 Maple didaftarkan pada 11 Jun 2018 dengan Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin Shah Anuar sebagai penandatangan yang diberi kuasa.

Selain itu, penyata akaun bagi September 2018 menunjukkan pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September 2018. Pada tarikh sama turut direkodkan kemasukan RM5 juta sebelum satu lagi pengeluaran RM5 juta dibuat pada 4 September 2018 dengan deskripsi dividen interim atas nama Fadzarudin Shah.

Keterangan itu diberikan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah dalam perbicaraan kes membabitkan pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar.

Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili pasangan berkenaan memohon agar prosiding soal balas terhadap saksi ditangguhkan ke Jumaat ini berikutan beliau masih bercuti sakit sehingga Rabu. Permohonan itu kemudian dibenarkan oleh Hakim Rosli Ahmad.

Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah terhadap dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta dengan membuat pembayaran kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka turut berdepan pertuduhan pilihan kerana didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading