SEREMBAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan dakwaan kononnya Pas sering menjadikan DAP sebagai modal kempen tidak berasas, sebaliknya mendakwa Pakatan Harapan (PH) sedang berdepan masalah yang berpunca daripada kelemahan sendiri.
Menurut beliau, isu yang membelenggu PH ketika ini adalah hasil daripada tindakan dan pendekatan gabungan itu sendiri, bukannya disebabkan serangan daripada pihak lawan.
“Apa yang berlaku ialah ‘self-destruction’. Mereka yang mencetuskan masalah kepada diri sendiri. Jadi mengapa pula kita dilabelkan seolah-olah hanya mengulang isu itu? Mereka perlu melihat kelemahan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri mendakwa PH masih memainkan naratif perkauman sepanjang kempen dengan cuba menggambarkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN sebagai sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
Katanya, rakyat kini lebih matang dalam menilai sesuatu dakwaan kerana pelbagai maklumat mudah diakses, sekali gus membolehkan mereka membuat perbandingan dengan kenyataan pemimpin terdahulu yang masih direkodkan.
“Rakyat boleh menilai sendiri apa yang pernah diucapkan lima atau 10 tahun lalu. Jadi, isu itu tidak timbul kerana rekod lampau boleh dijadikan rujukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, PN dan Pas telah membuktikan kemampuan mentadbir negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.
Beliau mendakwa cubaan memainkan sentimen perkauman hanya bertujuan mengalih perhatian daripada kelemahan sendiri, selain dijadikan modal politik ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, negeri-negeri yang ditadbir PN dan Pas telah menunjukkan semua kaum diberi perhatian menerusi aspek pembangunan, kebajikan rakyat, pendidikan serta pemeliharaan adat, warisan dan agama.


Leave a Reply