KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee bukan anggota parti itu selepas semakan dibuat menerusi Sistem Keanggotaan Keadilan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, semakan tersebut dilakukan susulan penularan gambar dan laporan di media sosial yang mengaitkan Liow dengan parti berkenaan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati Liow bukan sahaja tidak berdaftar sebagai ahli PKR, malah tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai parti itu.

“Semakan juga mendapati beliau tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk menjadi anggota parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, tular di media sosial gambar memaparkan Liow mengenakan pakaian Angkatan Muda Keadilan (AMK), sekali gus mencetuskan dakwaan beliau merupakan ahli PKR.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengesahkan individu dalam gambar berkenaan ialah Liow, namun menjelaskan kehadirannya ketika itu hanya sebagai tetamu dan bukannya ahli PKR.

Sebelum ini, Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram selepas dikaitkan dengan sindiket jenayah terancang yang dikenali sebagai “Geng Nicky”.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading