SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa terdapat cubaan mempengaruhi pengundi di negeri ini menerusi pemberian wang tunai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Beliau berkata, dakwaan itu bukan sekadar maklumat yang diterimanya daripada orang lain, malah turut melibatkan ahli keluarganya sendiri apabila kakaknya di Jelebu didakwa ditawarkan wang sebagai balasan untuk mengundi sebuah parti politik.

Menurutnya, beliau pada mulanya menganggap dakwaan berkenaan tidak masuk akal kerana tidak menyangka masih ada pihak yang sanggup menggunakan kaedah sedemikian bagi meraih sokongan.

“Saya benar-benar terkejut apabila dimaklumkan perkara itu. Pada awalnya saya tidak percaya, namun kakak saya sendiri menghubungi saya dan menghantar gambar berkaitan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Jelas beliau, individu yang terlibat didakwa menawarkan wang tunai antara RM100 hingga RM300, selain meminta kad pengenalan daripada penerima sebelum bayaran dibuat.

Ahli Parlimen Jelebu itu turut mendakwa kejadian sama dipercayai berlaku di beberapa kawasan lain dan maklumat mengenainya kini semakin meluas dikongsikan di media sosial.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai cubaan membeli sokongan pengundi serta mencemarkan proses demokrasi.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan tidak sepatutnya dipandang rendah dengan menjadikan wang sebagai alat untuk mempengaruhi keputusan mereka pada hari pengundian.

Terdahulu, media sosial dibanjiri video dan gambar yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Chuah, Port Dickson, dipercayai bagi menerima wang yang didakwa diagihkan oleh sebuah parti politik sempena kempen PRN.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading