KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut.
Peguamnya, Datuk Rajpal Singh berkata, keputusan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, lapor New Straits Times.
Menurut beliau, Nicky turut menyelesaikan tunggakan cukai berjumlah RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Pada 12 April 2022, Nicky mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap kesemua 26 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, beliau bersama tiga syarikat didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram serta memiliki wang hasil aktiviti tersebut dengan jumlah keseluruhan melebihi RM36 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Malayan Banking Berhad di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara tahun 2016 hingga 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Leave a Reply