Klang – Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan penceramah bebas Muhammad Fathi Na’im Mazlam daripada tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, lima tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan rayuan Muhammad Fathi Na’im, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Mahkamah Tinggi memutuskan berlaku kekhilafan pada peringkat Mahkamah Sesyen apabila permohonan penangguhan perbicaraan tidak dibenarkan bagi membolehkan perayu (Muhammad Fathi Na’im) mendapatkan khidmat peguam.

Hakim berpendapat keadaan itu telah memprejudiskan perayu sehingga menyebabkannya terpaksa mengendalikan sendiri pembelaan sepanjang prosiding di mahkamah.

Dalam prosiding rayuan itu, Muhammad Fathi Na’im diwakili peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd Ghazali manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Redza Azhar Rezali.

Pada 18 September 2025, Muhammad Fathi Na’im dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan itu selepas mendapatinya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan. 

Kes diputuskan di Kuala Lumpur kerana hakim yang mendengar kes itu bersidang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. 

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 13 tahun di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam, di sini pada Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan rogol di dalam sebuah kereta di lokasi sama pada 3 petang dan 7 malam, awal Julai dan 27 Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

—Bernama

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading