KUALA LUMPUR – Penantian selama 16 tahun jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk bergelar juara acara keirin Sukan Komanwel akhirnya berakhir apabila meraih pingat emas di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, awal pagi Sabtu.

Kemenangan itu menjadi detik paling bermakna buat pelumba berusia 38 tahun itu apabila beliau menutup penampilan terakhirnya di pentas Sukan Komanwel dengan gelaran juara.

Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga dalam perlumbaan akhir untuk menewaskan pelumba Australia, Leigh Hoffman yang meraih pingat perak, manakala Harry Ledingham-Horn dari England membawa pulang gangsa.

Pingat emas tersebut turut menyumbang emas ketujuh buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kejayaan itu menebus kekecewaan Azizulhasni pada penampilan sulung di New Delhi 2010 apabila kemenangannya dibatalkan susulan kesalahan menunggang secara berbahaya.

Insiden berkenaan menyaksikan rakan senegara, Josiah Ng yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dinaikkan sebagai pemenang pingat emas.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan selepas gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir.

Dalam perkembangan sama, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut terlepas peluang menghadiahkan pingat buat Malaysia apabila menamatkan saingan acara pecut wanita di tempat keempat selepas tewas kepada Rhian Edwards dari Wales dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading