SUNGAI BULOH – Seramai 10,000 belia di Parlimen Sungai Buloh bakal menerima sumbangan basikal percuma secara berperingkat menerusi satu inisiatif yang diperkenalkan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan mobiliti serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, program itu membuktikan komitmen beliau untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar penyerahan basikal, malah merupakan pelaburan terhadap pembangunan belia dengan menggalakkan lebih ramai anak muda mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
“Kita juga mahu menjadikan aktiviti berbasikal sebagai medium mengeratkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan Peringkat Parlimen Sungai Buloh dan Penyerahan Sumbangan Basikal Percuma di Dewan MBSA Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, pada Sabtu.
Beliau berkata, sebanyak 500 penerima pertama menerima basikal pada majlis berkenaan, manakala baki daripada keseluruhan 10,000 unit akan diagihkan secara berfasa kepada penerima yang layak.
Ramanan turut menegaskan pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi aspek pendidikan, pembangunan belia, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat tanpa ada mana-mana golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua penerima supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berbasikal dan memanfaatkan sumbangan yang diterima dengan sebaik-baiknya.


Leave a Reply