SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti seorang petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan berhubung kes seorang juruterbang warga Malaysia yang disyaki cuba menyeludup dadah ke Indonesia, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata individu berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun belum ditahan.
Beliau berkata, individu terbabit yang bertugas di bahagian saringan pintu masuk akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti seorang individu yang bertugas di bahagian saringan pintu masuk. Jika siasatan memerlukan, tindakan lanjut termasuk tangkapan akan dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata proses pemeriksaan di KLIA melibatkan empat peringkat saringan yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, penumpang yang melepasi saringan pertama melalui sistem imbasan automatik tanpa sebarang petunjuk mencurigakan tidak perlu menjalani pemeriksaan di peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, jika hasil saringan atau pemerhatian mengesan unsur yang mencurigakan, individu terbabit akan dirujuk ke peringkat saringan kedua atau ketiga untuk pemeriksaan lanjut.
“Dalam kes ini, jika seseorang melepasi saringan tanpa sebarang perkara mencurigakan, dia akan terus dibenarkan melalui pemeriksaan,” katanya.
Sementara itu, Hussein memaklumkan PDRM telah mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pengangkutan berhubung langkah memperkukuh kawalan keselamatan di KLIA.
Katanya, semua pihak bersetuju terdapat keperluan untuk memperketat serta menambah baik prosedur pemeriksaan di lapangan terbang berkenaan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.


Leave a Reply