KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba membawa masuk dadah bernilai hampir RM790,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya.
Memetik laporan Jakarta Globe, suspek yang dikenali sebagai DI diberkas sejurus mendarat di Terminal 2 selepas menaiki penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur.
Pemeriksaan keselamatan menemukan empat bungkusan berisi 990 gram syabu serta empat lagi bungkusan mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset dipakainya bagi mengaburi pihak berkuasa.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, cubaan menyeludup dadah itu berjaya dihidu hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan sebaik suspek tiba di lapangan terbang berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku diupah sebagai keldai dadah oleh sindiket pengedaran antarabangsa selepas terdesak akibat masalah kewangan dan beban hutang.
Rampasan berkenaan dianggarkan bernilai 2.79 bilion rupiah atau kira-kira RM790,000, selain dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 6,500 penagih.
Susulan penahanan itu, lelaki terbabit diserahkan kepada Polis Sidoarjo bagi membantu siasatan lanjut, termasuk mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan tersebut.
Di bawah undang-undang Indonesia, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati sekiranya didapati bersalah.
Insiden itu berlaku tidak lama selepas seorang juruterbang rakyat Malaysia turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi.
Dalam kes berasingan itu, pemeriksaan ke atas bagasi juruterbang berkenaan menemui lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram bersama sejumlah kecil syabu. Siasatan mendapati lelaki terbabit didakwa menerima tawaran RM50,000 bagi membawa masuk dadah ke Indonesia dan mengaku pernah terbabit dalam dua lagi operasi penyeludupan sebelum ini.


Leave a Reply