KLANG – Pemilik anjing peliharaan bernama Rocky yang didakwa mati ketika operasi menangkap anjing liar di Port Klang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan insiden tersebut.
Peguam yang mewakilinya, Choo Dee Wei berkata, anak guamnya, Roghinidevi, kini menunggu hasil siasatan polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebelum menentukan langkah seterusnya.
Menurut Roghinidevi, kejadian pada 29 Julai lalu bermula selepas seorang jiran memaklumkan bahawa seekor anjing lain didakwa mengejar seorang kanak-kanak di kawasan Taman Teluk Gedung Indah, namun Rocky tidak mempunyai kaitan dengan insiden itu.
Beliau berkata, sebaik pulang ke rumah bersama anak perempuannya, dia mendapati Rocky sedang ditangkap oleh dua lelaki, manakala orang ramai berkumpul di hadapan kediamannya.
“Saya sudah merayu supaya mereka melepaskan Rocky. Saya beritahu, jika mahu membawanya pergi, saya sendiri akan serahkan. Saya mengaku tiada lesen memelihara anjing dan tidak akan menghalang tindakan mereka,” katanya pada sidang media.
Bagaimanapun, beliau mendakwa rayuan itu tidak dipedulikan dan alat yang melilit leher Rocky terus diketatkan.
Roghinidevi turut mendakwa beliau bersama anak perempuannya cuba memotong alat berkenaan bagi menyelamatkan Rocky, namun dihalang oleh orang awam. Malah, beliau mendakwa tangannya dipukul menggunakan sebatang kayu ketika cuba membantu haiwan peliharaannya itu.
Menurutnya, ketika pegawai Majlis Bandaraya Klang (MBK) tiba di lokasi, Rocky disahkan telah mati.
Beliau turut mendakwa alat yang digunakan untuk menangkap Rocky bukan penjerut standard yang biasa digunakan bagi menangkap anjing, sebaliknya sejenis kabel lutsinar yang mengandungi dawai sehingga pegawai MBK terpaksa memotongnya menggunakan pemotong khas.
Selain itu, Roghinidevi mendakwa tindakan awal pihak berkuasa lebih tertumpu kepada isu lesen pemeliharaan anjing sebelum video kejadian menjadi tular. Hanya selepas itu, katanya, laporan polis beliau diambil secara rasmi.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa jiran mendakwa melihat Rocky bersembunyi di bawah sebuah kereta sebelum beberapa individu memasuki kawasan rumah jiran, menarik keluar anjing itu dan didakwa memukulnya sebelum menangkapnya.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan polis dan DVS.


Leave a Reply