JAKARTA – Cubaan tiga wanita warga Malaysia menyeludup pelbagai jenis dadah ke Indonesia berjaya dipatahkan pihak Kastam Indonesia dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Isnin.

Memetik laporan CNN Indonesia, ketiga-tiga suspek ditahan sejurus tiba di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa selepas menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu.

Menurut pihak Kastam Indonesia, mereka dikesan menunjukkan tingkah laku mencurigakan oleh pegawai Behavior Detection Officer (BDO) sebelum diarahkan ke laluan merah untuk pemeriksaan lebih terperinci.

Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah yang dipercayai disorok di beberapa lokasi, termasuk di dalam beg peralatan mandian, dompet, bungkusan ubat, poket jaket dan kasut yang dipakai suspek.

Antara bahan yang dirampas ialah serbuk dan abu disyaki kokain seberat 0.5 gram, 0.3 gram serta 2 gram, pil disyaki mengandungi MDMA atau ekstasi seberat 4.2 gram, serbuk disyaki ketamin seberat 1.8 gram, rokok gulung dipercayai dicampur ketamin seberat 16.9 gram serta satu kartrij yang turut disyaki mengandungi ketamin.

Kesemua bahan rampasan telah dihantar untuk menjalani ujian awal bagi mengesahkan kandungannya.

Pihak Kastam Indonesia memaklumkan siasatan kini dijalankan dengan kerjasama Unit Siasatan Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan penyeludupan tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap ketiga-tiga suspek.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading