MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap telah terkeluar secara automatik daripada Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan baharu bersama beberapa parti lain.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan perlembagaan gabungan tersebut, mana-mana pihak yang memilih untuk menyertai atau membentuk kerjasama politik lain akan hilang keahlian secara automatik tanpa memerlukan surat rasmi atau keputusan khusus.

“Dia sudah membuat kenyataan mahu tubuh satu pasukan lain, jadi automatik dia keluar. Secara rasmi tidak ada, tidak perlu rasmi.

“Dia terkeluar dengan sendiri apabila dia buat begitu. Ikut perlembagaan, apabila kita pergi ke lain, habislah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa partinya akan membentuk sebuah gabungan baharu yang lebih besar bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.

Gabungan baharu itu dijangka melibatkan beberapa parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata Pas kekal dengan pendirian memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam selain membina hubungan dengan kaum lain demi kepentingan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau mengkritik pendekatan kerajaan yang didakwa seolah-olah memberi gambaran negatif terhadap orang Melayu melalui isu rasuah.

Beliau mendakwa tindakan penguatkuasaan dilihat terlalu menumpukan kepada individu Melayu yang terlibat dalam kes rasuah, sedangkan pihak lain yang terlibat dalam kegiatan sama turut perlu diberi perhatian.

“Sepatutnya tindakan diambil terhadap semua pihak yang terlibat termasuk pemberi rasuah. Keadaan ini jangan sampai memberi gambaran seolah-olah hanya orang Melayu sahaja yang terlibat,” katanya.

Mengenai hubungan dan rundingan bersama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi berkata perbincangan masih berjalan.

Menurut beliau, keadaan politik di Melaka mempunyai perbezaan berbanding Negeri Sembilan dan Johor walaupun keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan perkembangan yang hampir sama.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyatakan kepuasan terhadap pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi pentadbiran Negeri Sembilan.

Beliau berkata Pas menerima kuota yang bersesuaian dalam barisan pentadbiran negeri tersebut.

“Ya, kita puas hatilah dengan pelantikan tersebut,” katanya ringkas.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading