KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan isu penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.

Beliau berkata, keperluan itu timbul susulan kenyataan yang dilihat bercanggah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berhubung nasib kira-kira 5,000 pelarian Rohingya di Malaysia.

Menurutnya, Anwar sebelum ini memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, manakala Fahmi menegaskan Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa mereka terancam.

“Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar kerajaan mengenai perkara ini. Ketidakselarasan kenyataan hanya menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mike Chong berkata, isu pelarian Rohingya kini bukan lagi sekadar persoalan kemanusiaan, sebaliknya turut dikaitkan dengan aspek keselamatan negara, kesihatan awam, ekonomi serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, masyarakat turut menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan komuniti, risiko penyakit berjangkit, kewujudan penempatan haram serta tekanan terhadap kemudahan kesihatan dan infrastruktur awam.

Sehubungan itu, beliau berpandangan ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk membahaskan isu berkenaan secara terbuka bagi mencari penyelesaian yang lebih jelas, adil dan mengutamakan kepentingan rakyat serta negara.

“Jika kerajaan boleh mengadakan sidang khas bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Tabung Haji, isu Rohingya yang memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan rakyat juga wajar dibahaskan dalam sidang khas Parlimen,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading