KLANG – Penghantar barang dan seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kekejaman terhadap seekor anjing sehingga menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan, pada Julai lalu.
Memetik laporan Harian Metro, kedua-dua tertuduh, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S Roghini Devi, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Muhammad Shah Idham didakwa menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung secara tidak munasabah sehingga menyebabkan kesakitan kepada haiwan berkenaan.
Roghini pula didakwa menarik anjing yang sama secara tidak munasabah sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan terbabit.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berlaku antara jam 11 hingga 11.30 malam, 29 Julai lalu, di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran, mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh selain syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di JPV Selangor sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM6,000 setiap seorang dan menetapkan syarat supaya mereka melaporkan diri di JPV Selangor sebulan sekali.
Sementara itu, Roghini turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki seekor anjing berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan turut mengaku tidak bersalah.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di alamat sama pada kira-kira jam 10.50 malam, 29 Julai lalu, mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Jika disabitkan, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah Majistret kemudiannya membenarkan Roghini diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Sebutan semula bagi semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi menangkap haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah pada 29 Julai lalu.
Siasatan dijalankan susulan dakwaan terdapat unsur kekejaman terhadap haiwan berkenaan. Bangkai anjing itu turut dihantar ke Jabatan Veterinar Selangor untuk proses bedah siasat.


Leave a Reply