KUALA LUMPUR – Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Mohd Akbar Zainol, mengaku tidak bersalah di mahkamah hari ini atas lima pertuduhan berkaitan kemalangan maut di persimpangan Jalan Sultan Ismail pada 19 Ogos lalu.

Memetik laporan RTM, tertuduh membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Aliaa Anwar.

Tiga pertuduhan pertama membabitkan dakwaan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga iaitu Shaik Mohd Firdaus Shaik Yahya, Siti Nurshazlin Shaik Mohd Firdaus dan Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Bagi pertuduhan keempat pula, Mohd Akbar didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pejalan kaki dan didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Satu lagi pertuduhan mendakwa tertuduh gagal mematuhi isyarat lampu merah di Jalan Sultan Ismail sebelum kenderaan dipandunya merempuh sebuah kenderaan lain dan melanggar tiga pejalan kaki.

Dalam prosiding itu, pihak pembelaan memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta mencadangkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, menjadikan keseluruhan jaminan RM60,000.

Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober ini bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.