KUANTAN – Polis masih mengesan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, Isnin lalu.
Memetik laporan Harian Metro, rompakan itu membabitkan kehilangan 81 barang kemas seberat keseluruhan 2.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.74 juta.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ketiga-tiga suspek.
Katanya, sebarang perkembangan terkini berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan kepada umum.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Amal Konvoi Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) sempena sambutan Hari Polis Ke-219 dan Ambang Merdeka Ke-69 di Dewan Badminton Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini, hari ini.
Program berkenaan disertai 200 peserta termasuk Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad yang turut bertindak sebagai ketua program.
Dalam kejadian Isnin lalu, tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing menyerbu kedai emas berkenaan sebelum melarikan 81 barang kemas terbabit.
Ketiga-tiga suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.39 pagi dan suspek memakai penutup muka, topi serta jaket.
Keseluruhan kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sebelum suspek meninggalkan premis pada jam 11.41 pagi.
Ketika kejadian, dua pekerja iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berada di dalam premis, manakala seorang lagi pekerja wanita keluar untuk berehat.
Tiada pelanggan berada di premis ketika kejadian dan tiada pengawal keselamatan ditugaskan di kedai berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan.


Leave a Reply