KOTA KINABALU – Tiga sekeluarga termasuk seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Darau Manggatal, di sini, awal pagi Jumaat.

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun melecur ketika cuba menyelamatkan diri.

Tiga mangsa yang maut terdiri daripada wanita berusia 67 tahun, lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 29 tahun. Kesemua mereka ditemukan di bahagian bilik dan berhampiran pintu keluar rumah.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.43 pagi.

Menurutnya, seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari BBP Lintas.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang musnah 100 peratus.

“Operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.