SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menggalakkan rakyat negara itu mempelajari Bahasa Melayu serta memahami budaya Melayu dengan lebih mendalam bagi mengukuhkan hubungan dengan negara jiran di rantau ini.

Memetik laporan Mediacorp, beliau berkata penguasaan bahasa dan pemahaman terhadap budaya Melayu bukan sahaja berkait dengan warisan Singapura, malah mampu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat serta sektor perniagaan negara itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026, Ahad lalu.

Menurut Lawrence, Bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam identiti Singapura kerana ia merupakan bahasa kebangsaan, bahasa yang digunakan dalam lagu kebangsaan serta bahasa arahan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Beliau turut menyentuh mengenai Kampong Gelam yang disifatkannya sebagai kawasan penting dalam sejarah dan warisan Singapura serta mencerminkan hubungan negara itu dengan rantau sekitarnya.

Lawrence berkata, pembukaan semula Taman Warisan Melayu turut memperlihatkan semangat masyarakat Melayu dalam memelihara dan meraikan warisan mereka menerusi penglibatan seniman, kumpulan masyarakat, peniaga serta sukarelawan.

Dalam ucapannya, beliau turut mengambil contoh perniagaan Pondok Abang yang bermula sebagai sebuah gerai penjaja sebelum berkembang ke peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Lawrence merakamkan penghargaan kepada masyarakat Melayu atas sokongan serta sambutan yang diberikan kepadanya sepanjang tahun lalu.

Katanya, beliau berkesempatan menyertai pelbagai program bersama masyarakat Melayu termasuk majlis berbuka puasa, acara kebudayaan dan sesi pertemuan dengan komuniti.

Beliau turut mengakui menerima banyak galakan daripada masyarakat Melayu untuk terus mempelajari Bahasa Melayu.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading