AYER KEROH – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS yang dijadual berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September ini.
Beliau berkata, kehadirannya bersama barisan kepemimpinan Pemuda UMNO adalah atas jemputan Pemuda PAS yang sebelum ini mengundang sayap parti itu ke muktamar berkenaan.
“Pertamanya, memang ada jemputan daripada Pemuda PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan dan insya-Allah, saya sudah menyatakan komitmen untuk hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Akmal berkata Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 10 September depan akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurutnya, perhimpunan itu turut menjadi ruang untuk perwakilan mengemukakan cadangan berkaitan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.
“Saya yakin perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan,” katanya.


Leave a Reply