KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung beberapa perkara berkaitan sukan berbasikal serta misi Malaysia ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Penjelasan sepanjang sembilan muka surat yang dikongsikan menerusi media sosial itu, menurut Azizulhasni, dibuat berdasarkan fakta dan bukan dengan sebarang niat lain selain mahu melihat perkembangan sukan negara terus dipertingkatkan serta kebajikan atlet lebih terjamin.

Antara perkara yang menjadi persoalan utama ialah kedudukan beliau dalam misi kelayakan LA28.

Azizulhasni berkata, persoalan sebenar bukan mengenai sama ada beliau mahu meneruskan karier atau sebaliknya, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk membantu memburu tiket ke temasya Olimpik berkenaan.

Menurutnya, jawapan jelas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) penting bagi membolehkannya membuat perancangan awal berkaitan latihan, penyertaan pertandingan, penajaan dan keluarga.

Pelumba berusia 38 tahun itu turut menjelaskan bahawa perjalanan kelayakan ke LA28 bukan mudah kerana ia berlangsung selama dua musim dan memerlukan atlet mengumpul mata menerusi beberapa kejohanan utama.

Berdasarkan prestasi semasa, Azizulhasni percaya beliau masih mampu bersaing dalam kelompok pelumba terbaik dunia.

Dalam pada itu, beliau menegaskan wang bukan perkara utama yang dituntutnya, malah bersedia mendapatkan sokongan pihak swasta dan bergerak secara profesional sekiranya diperlukan.

Sebaliknya, beliau mahu sistem sokongan yang kukuh disediakan bagi memastikan persiapan, latihan dan proses pemulihannya dapat dilakukan pada tahap terbaik.

Azizulhasni turut mencadangkan supaya dana yang diperuntukkan kepadanya tetapi tidak digunakan disalurkan kepada pelumba muda bagi membantu mereka mendapatkan pengalaman serta mengumpul mata kelayakan ke LA28.

Beliau juga mencadangkan supaya satu perjanjian bertulis diwujudkan bagi menetapkan hak atlet terhadap mata kelayakan yang telah dikumpul, bagi mengelakkan situasi atlet hanya diberi peranan mengumpul mata sebelum kedudukan mereka berubah pada masa akan datang.

Selain itu, Azizulhasni menyentuh mengenai pengurusan sukan berprestasi tinggi termasuk perkara yang pernah berlaku membabitkan bekas pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley.

Beliau berharap pengalaman daripada episod berkenaan dapat dijadikan pengajaran untuk membawa perubahan kepada sistem dan pengurusan sukan negara.

Bagi Azizulhasni, perancangan menuju LA28 perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keluarga, penajaan, latihan dan pemulihan kerana kesemuanya mempunyai kaitan rapat dengan prestasi seseorang atlet.

Penjelasan berkenaan dilihat sebagai usaha The Pocket Rocketman untuk memperincikan persoalan yang timbul berhubung masa depannya, selain mendapatkan kepastian mengenai kedudukannya dalam misi Malaysia memburu tiket ke LA28.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading