KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan kegiatan kongsi gelap di Johor serta kes kemalangan jalan raya yang sedang disiasat polis.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, tuduhan yang tersebar menerusi media sosial berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Ahli Parlimen Kulai itu, terdapat akaun media sosial baharu yang diwujudkan dengan tujuan membuat pelbagai dakwaan terhadap dirinya.
Memetik laporan Harian Metro, Teo berkata, sepanjang 18 tahun berada dalam arena politik dan 13 tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, beliau mungkin pernah bertemu atau bergambar dengan individu tertentu dalam keadaan sosial biasa.
Namun, katanya, gambar atau pertemuan sedemikian tidak boleh dijadikan asas untuk menuduhnya mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.
Beliau turut menyambut baik siasatan polis berhubung perkara itu selepas pihak berkuasa Johor memaklumkan seramai 13 suspek telah ditahan.
Sebelum ini, ADUN Senai, Wong Bor Yang dilaporkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berhubung hantaran yang didakwa berunsur fitnah dan mengaitkan Teo serta DAP dengan kumpulan kongsi gelap.
Dalam pada itu, Teo yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, penyebaran tuduhan sedemikian membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa berita palsu dalam era digital.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima bulat-bulat maklumat yang tersebar di media sosial, sebaliknya melakukan semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya.
Teo turut memaklumkan bahawa beliau telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain membuat laporan polis berhubung perkara terbabit.
Bagaimanapun, katanya, tindakan untuk menutup akaun atau memadam kandungan yang didakwa berunsur fitnah bergantung kepada pihak Meta, menyebabkan tidak semua kandungan palsu dapat dipadamkan serta-merta.


Leave a Reply