KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik langkah diumumkan kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam satu kenyataan media, Muhyiddin berkata, keputusan mengembalikan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan serta menaikkan ambang pengecualian e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat membantu rakyat dan golongan peniaga berdepan peningkatan kos.

Muhyiddin turut menyokong peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses langganan perisian kecerdasan buatan untuk golongan belia serta tambahan kemudahan mikro kredit bernilai RM1 bilion.

Selain itu, geran RM200 juta untuk membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah disifatkan mampu merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menurutnya, kementerian serta agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan dan bantuan yang diumumkan disalurkan segera kepada individu serta perniagaan yang layak.

Muhyiddin pada masa sama berharap langkah berkenaan diteruskan dengan pendekatan lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027, termasuk mengkaji semula dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi yang memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading