KUALA KANGSAR – Aspek keselamatan di Jambatan Victoria, Enggor di sini dikatakan sudah beberapa kali dibangkitkan susulan keadaan struktur jambatan berusia lebih 125 tahun itu.

Memetik laporan Ipoh Echo, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, pihaknya sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kayu pelapik landasan yang reput dan boleh membahayakan pengunjung.

Menurutnya, keselamatan perlu diberikan perhatian serius memandangkan jambatan bersejarah itu masih menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Kebimbangan berkenaan kembali menjadi perhatian selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Abdul Rafee Abdul Halim, maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di jambatan tersebut, petang semalam.

Mangsa dilaporkan berada di atas jambatan bersama bapanya ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang.

Susulan tragedi itu, lokasi berkenaan ditutup kepada orang ramai.

Jambatan Victoria merupakan aset Perbadanan Aset Keretapi (RAC), manakala Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) membantu dalam aspek penyelenggaraan kawasan.

Jambatan berkenaan mula dibina pada 1897 sebelum siap tiga tahun kemudian dan dirasmikan pada 21 Mac 1900. Ia dinamakan sempena Ratu Victoria dan perasmiannya disaksikan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.