MELAKA — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkemungkinan dibubarkan dalam tempoh dua minggu lagi bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata perkara itu ketika berucap pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang, hari ini.

Menurut Ab Rauf, sebelum ini beliau pernah memberi bayangan bahawa pembubaran DUN akan berlaku dalam tempoh empat kali Jumaat, namun kini tempoh tersebut hanya berbaki dua kali Jumaat.

“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya ketika menghadiri majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu.

Turut hadir, EXCO Kanan Negeri yang juga Penyelaras Pembangunan DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.

Perkembangan itu menyusul kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mahu Ab Rauf mempercepatkan pengumuman pembubaran DUN Melaka bagi memberi laluan kepada PRN.

Ahmad Zahid dilaporkan berpandangan bahawa pengumuman itu tidak wajar ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda, perlu diberi peluang menentukan hala tuju serta masa depan negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf mengesahkan bahawa rundingan dengan beberapa gabungan parti turut berlangsung bagi membentuk persefahaman politik menjelang PRN akan datang.

Bagaimanapun, katanya, BN masih meneliti setiap pilihan sebelum membuat keputusan yang dilihat mampu memberikan kelebihan kepada parti tersebut.

“Melaka ini ibarat anak dara cantik, ramai nak masuk meminang. Saya jadi bapa susah nak tunggu (buat keputusan kerana) semua orang datang tanya bila (nak bersama), baik (bersama) dengan saya (gabungan parti), baik (bergabung) dengan saya… tidak.

“Demi perjuangan, saya tidak akan buat keputusan atas sifat kawan, (sebaliknya) saya akan membuat keputusan atas sifat politik demi perjuangan membela dan membina semula parti kita yang sudah pun dipijak dan dihina selama ini,” katanya.

Ab Rauf pada masa sama memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat Melaka kekal sebagai keutamaan dalam pentadbirannya.

Beliau berkata setiap keputusan kerajaan akan mengambil kira suara serta keperluan rakyat, selain menegaskan bahawa amanah yang diberikan bukan untuk mengejar keselesaan, sebaliknya menuntut pemimpin turun padang dan mendengar sendiri masalah masyarakat.

“Kita bersama bangkit semula, kita diberikan mandat untuk menguruskan rakyat dan saya uruskan rakyat dengan baik. Saya boleh sahaja duduk bermewah-mewah, saya boleh tidur dan bangun tengah hari, saya tak perlu jumpa rakyat. Tetapi tidak, demi rakyat untuk rakyat, biar saya panas dan basah bersama rakyat dan demi rakyat Melaka, saya perjuangkan segalanya.

“Tidak lama lagi hari jadi kita semua (hari mengundi), hari jadi untuk kita tentukan siapa yang kita nak wakilkan untuk membela kita. Jangan fikir panjang dan jangan fikir pendek, kita fikir satu sahaja iaitu kita `geng’ biru,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading