KLANG — Seorang guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah mencederakan seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun, pada 28 Ogos lalu.

Menurut laporan Kosmo, Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan tertuduh, Lenah Abdul, 43, dipenjara selama tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh telah menjelaskan bayaran tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah taska di Taman Sentosa, Klang, kira-kira jam 10 pagi pada tarikh kejadian.

Lenah didakwa melakukan perbuatan itu dengan memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika sedang memandikan kanak-kanak berkenaan.

Kejadian terbongkar selepas bapa mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya. Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, beliau kemudian mendapatkan penjelasan daripada tertuduh sebelum membuat laporan polis.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Dalam rayuan mitigasi, peguam Adam Rosli memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,700 sebulan dan merupakan ibu kepada lima anak, termasuk seorang anak autistik.

Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa didakwa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buang sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga menyebabkan kawasan berkenaan kotor.

Mangsa juga dikatakan bertindak agresif ketika kejadian, manakala tertuduh perlu mengawasi tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya.

Peguam itu berkata keadaan pada ketika itu menjadi di luar kawalan tertuduh sehingga menyebabkan beliau bertindak seperti yang didakwa.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading