BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan lima anjing liar di hadapan rumah keluarganya di Kampung Tambak, Peserai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dipercayai berada di luar rumah sebelum diserang sekumpulan anjing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu, masing-masing mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada pihak hospital selepas mangsa dibawa mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami.

“Mangsa mengalami kecederaan pada hampir seluruh badan selepas diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumah keluarga.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut,” katanya.

Shahrulanuar berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.

Sementara itu, nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, dilaporkan menyedari cucunya tiada di dalam rumah sebelum keluar mencarinya.

Dia kemudian terkejut apabila melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan dikerumuni lima ekor anjing.

Mangsa berada di rumah neneknya ketika cuti sekolah bersama abang dan kakaknya. Ketika kejadian, pintu gelangsar rumah didapati sedikit terbuka.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk aspek kecuaian penjagaan kanak-kanak serta tanggungjawab berkaitan haiwan yang terlibat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading