KUALA LUMPUR – Dakwaan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kemungkinan wujud usaha campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam politik Malaysia pada 2014 perlu disahkan melalui siasatan, kata Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR).

Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung pendedahan Presiden PAS itu yang antara lain menyentuh dakwaan pertemuan antara pemimpin PAS dengan wakil Kedutaan AS ketika kunjungan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian tidak wajar dibiarkan tanpa penelitian kerana jika mempunyai asas, ia boleh membabitkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menentukan terlebih dahulu kesahihan dakwaan berkenaan, termasuk meneliti siapa yang hadir dalam pertemuan tersebut, perkara yang dibincangkan serta sebarang bentuk tawaran atau bantuan yang dikatakan diberikan.

“Perkara ini dikatakan berlaku pada 2014, namun hanya didedahkan sekarang. Sekiranya benar terdapat pihak luar yang cuba mempengaruhi perkembangan politik Malaysia atau membantu usaha menukar kerajaan ketika itu, perkara berkenaan amat serius.

“Justeru, kita mahu PDRM menyiasatnya secara menyeluruh supaya rakyat mendapat gambaran sebenar berdasarkan fakta dan bukti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mustapa berkata, individu yang membuat pendedahan itu juga wajar dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu pihak polis mengenal pasti kronologi serta mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa siasatan diperlukan bukan untuk menjadikannya sebagai pertikaian politik, sebaliknya bagi menentukan sama ada benar berlaku sebarang bentuk penglibatan pihak asing dalam urusan politik Malaysia.

“Kita mahu tahu sejauh mana perkara itu berlaku sekiranya dakwaan tersebut benar, termasuk kemungkinan implikasinya terhadap keselamatan dan kepentingan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata, pendedahan berhubung pertemuan dengan wakil Kedutaan AS yang didakwa mempunyai kaitan dengan usaha menukar kerajaan merupakan dakwaan yang tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, sekiranya dakwaan itu terbukti, perkara tersebut mempunyai dimensi lebih besar kerana melibatkan kemungkinan campur tangan asing dalam urusan dalaman negara.

“Kita mahu polis meneliti keseluruhan perkara ini, termasuk mengenal pasti pihak yang terlibat, tujuan pertemuan serta sama ada wujud sebarang bentuk tawaran atau bantuan kepada pihak tertentu.

“Perkara ini berkait dengan kepentingan negara. Sebab itu, rakyat perlu mengetahui kedudukan sebenar berdasarkan hasil siasatan, bukannya hanya bergantung kepada dakwaan atau spekulasi,” katanya.

Shahbudin turut meminta Jabatan Peguam Negara meneliti hasil siasatan bagi menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang berkaitan perkara tersebut.

Beliau berkata, penelitian daripada pihak berkuasa penting bagi menjelaskan persoalan yang timbul dan memastikan dakwaan mengenai campur tangan asing itu dapat diputuskan berdasarkan bukti yang sahih. -KL Broadcast

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading