KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan wajar diberi ruang untuk menyelesaikan tempoh mandatnya sehingga Februari 2028 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, kata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, cadangan supaya PRU dipercepatkan adalah hak dan pandangan setiap pihak, namun tempoh pemerintahan yang masih berbaki boleh dimanfaatkan kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak agenda kepada rakyat.
“Saya tak sebut tak setuju, saya sebut lebih afdal. Sebab tempoh berbaki lama lagi.
“Kita ada mandat sampai Februari 2028. Tempoh ini dikira dari tarikh Ahli Parlimen angkat sumpah, bukan tarikh PRU pada November 2022,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Sekolah Kebangsaan Nenasi, dekat Pekan, Pahang, hari ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, baki tempoh lebih setahun berkenaan seharusnya digunakan untuk memperkukuh pengurusan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Banyak benda lagi kita boleh buat, masa untuk memanfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, urus ekonomi dengan cermat, tumpu kebajikan rakyat. Tempoh setahun lebih ini cukup lumayan bagi kerajaan buat kerja untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU16 diadakan lebih awal yang menjadi antara perkara dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap peluang Barisan Nasional (BN) untuk kembali mengukuhkan sokongan berdasarkan perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor.
Dalam pada itu, Saifuddin melihat terdapat persamaan antara ucapan dasar Ahmad Zahid dengan ucapan yang disampaikannya pada Konvensyen PKR bulan lalu, khususnya berkaitan politik berasaskan identiti.
Katanya, UMNO dilihat mengambil pendirian bahawa pendekatan politik yang memainkan isu kaum dan agama sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan kelompok lain tidak seharusnya diteruskan.
“Politik identiti berlandaskan kaum dan agama ini tidak boleh hingga menakutkan kaum dan agama lain dan perkara ini antara kandungan ucapan dasar Presiden UMNO.
“Jadi, saya fikir ia satu anjakan besar dalam (pandangan) UMNO. Maknanya, kita tidak boleh berjaya dengan menakutkan kaum lain,” katanya.
Saifuddin berkata, perkara itu mempunyai persamaan dengan pendirian PKR yang sejak sekian lama menekankan politik berasaskan prestasi berbanding politik identiti.


Leave a Reply