KUALA LUMPUR – UMNO memberi isyarat tegas kepada Kerajaan Perpaduan dengan meletakkan dua pilihan berhubung kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam gabungan berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan pertama adalah mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Pilihan kedua pula, katanya, adalah BN dikeluarkan secara rasmi daripada Kerajaan Perpaduan, sekali gus membuka ruang kepada undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Pilihan cuma ada dua! Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan Pilihan Raya Umum!

“Kedua, keluarkan kami secara rasmi daripada (Kerajaan Perpaduan) dan undi tidak percaya boleh dilakukan di Dewan Rakyat!

“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat! Kalau berani bubarlah cepat!” katanya ketika Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya BN dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan, asas sokongan sebanyak 112 kerusi yang membentuk kerajaan ketika ini tidak lagi terpakai.

Menurutnya, keadaan itu secara langsung memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi menentukan pembentukan kerajaan seterusnya.

Beliau berkata, jumlah sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini sememangnya melepasi majoriti mudah, namun angka berkenaan turut merangkumi sokongan tambahan daripada pelbagai parti yang menyertai gabungan itu.

“Walaupun jumlah kerusi bersama Kerajaan Perpaduan sekarang ini melebihi majoriti mudah, tetapi ia adalah tambahan kepada asas yang ada. Sebab parti-parti yang menyertai sekarang ini pelbagai parti, semuanya 18 parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan sejak awal adalah berlandaskan tanggungjawab terhadap negara serta kepatuhan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kerjasama itu dibentuk dengan matlamat memastikan kestabilan pentadbiran negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading