SEPANG – Impian ibu kepada “Abang Minyak Hitam Jalanan” untuk menunaikan ibadah umrah akhirnya tercapai selepas menerima tajaan daripada TV AlHijrah.
Memetik laporan AlHijrah News, Mohd Yusof Mohd Noor, 31, berkata hasratnya untuk membawa ibunya, Zaitun Mohd Yusof, 67, ke Tanah Suci sudah lama dirancang bersama isteri.
Katanya, mereka sebelum ini mengumpul wang daripada hasil perniagaan minyak hitam jalanan, namun jumlah yang diperlukan masih belum mencukupi.
“Allah bagi rezeki dengan cara lain. TV AlHijrah jemput saya hadir ke sidang media Aidiladha dan berikan saya tajaan untuk tunaikan umrah, tapi saya hadiahkan kepada mak saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Menurut Mohd Yusof, tajaan berkenaan diberikan pada 23 April lalu selepas beliau menghadiri sidang media yang dianjurkan stesen televisyen berkenaan.
Sementara itu, Zaitun meluahkan rasa syukur dan bangga selepas anaknya memilih untuk menghadiahkan peluang menunaikan umrah kepadanya.
Katanya, pada awalnya Mohd Yusof hanya memaklumkan bahawa dirinya dijemput oleh sebuah stesen televisyen untuk menghadiri program sempena Aidiladha.
“Saya tak sangka dan saya bersyukur dan bangga dapat anak saya Mohd Yusof,” katanya.
Zaitun berkata, beliau sendiri menyarankan anaknya memenuhi jemputan TV AlHijrah kerana merupakan antara siaran televisyen yang sering ditontonnya.
Kisah Mohd Yusof sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas video dia membaiki motosikal seorang individu dikenali sebagai Dicky tanpa mengenakan sebarang bayaran tular di media sosial.
Tindakannya membantu orang lain menerusi perniagaan “minyak hitam jalanan” itu kemudian mendapat pujian dan perhatian masyarakat.


Leave a Reply