GEORGE TOWN – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berani mengemukakan cadangan agar UMNO disingkirkan daripada Kerajaan Pulau Pinang susulan cabaran beliau supaya parti itu dikeluarkan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menerusi hantaran di media sosialnya pada Isnin, Guan Eng berkata Ahmad Zahid sebelum ini secara terbuka mencabar kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan UMNO daripada kerajaan Persekutuan ketika Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir baru-baru ini.

“Persoalannya, mengapa Ahmad Zahid tidak berani mencabar PH Pulau Pinang untuk menyingkirkan UMNO daripada kerajaan negeri?

“UMNO mempunyai wakil dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang, dua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO memberikan kata dua kepada Kerajaan Perpaduan sama ada mendapatkan semula mandat rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan parti itu secara rasmi daripada kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, gesaan itu dibuat selepas mengambil kira desakan supaya UMNO tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Ahmad Zahid sepatutnya berani membuat cabaran sama di Pulau Pinang sekiranya benar-benar yakin dengan pendiriannya.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri itu tidak berbuat demikian kerana mengetahui kerajaan PH Pulau Pinang masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tanpa dua wakil rakyat UMNO.

“Pendukung PH melihat dengan jelas bahawa UMNO dan Pas akan terus mengamalkan politik ekstrem serta retorik yang memecah-belahkan masyarakat bagi memenangi kuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.