KUALA LUMPUR – Kemunculan bahan terlarang yang digunakan dengan kaedah menyerupai vape dibimbangi membuka ruang lebih besar kepada golongan muda untuk terdedah kepada penyalahgunaan dadah.

Pempengaruh dan aktivis, Ariz Ramli atau Caprice berkata, persamaan dari segi kaedah penggunaan menyebabkan bahan berkenaan dilihat lebih dekat dan mudah diterima oleh generasi muda yang sudah biasa dengan penggunaan vape.

Menurutnya, situasi itu semakin membimbangkan susulan kewujudan saluran media sosial yang boleh dimanfaatkan pihak tidak bertanggungjawab bagi memasarkan bahan terlarang kepada pengguna.

“Vape sudah berada di Malaysia lebih 10 tahun, jadi mekanisme penggunaannya sudah biasa dalam dunia orang muda.

“Kalau dadah lain, ada yang perlu dipotong, digulung atau melalui proses tertentu tetapi yang ini mekanisme penggunaannya seperti vape. Sebab itu ia menjadi lebih dekat dengan golongan muda,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Private Place @ Sembang-sembang Cafe, Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur, hari ini.

Caprice berkata, penggunaan identiti palsu di media sosial turut menyukarkan usaha membendung aktiviti penjualan dadah secara dalam talian.

Katanya, platform seperti Telegram, Instagram, TikTok dan Facebook boleh disalahgunakan oleh penjual untuk menyembunyikan identiti serta mencari pelanggan tanpa perlu beroperasi secara fizikal.

“Dunia media sosial lebih menakutkan kerana semuanya boleh dibuat secara ‘anonymous’ (tanpa nama), sama ada melalui Telegram atau akaun palsu di Instagram, TikTok dan Facebook.

“Kalau dahulu polis menyerbu rumah yang menjual dadah, konsep sama sepatutnya digunakan terhadap platform yang menjadi tempat dadah dijual,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana kandungan berkaitan barangan terlarang masih boleh muncul di media sosial sedangkan sistem platform berkenaan didakwa mampu mengesan pelbagai bentuk pelanggaran kandungan dengan pantas.

Beliau menggesa pengendali platform media sosial supaya mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap akaun yang menawarkan bahan terlarang.

“Kalau peniaga di TikTok tersalah menyebut nama platform tertentu pun boleh dikenakan strike, tetapi bagaimana produk haram boleh mendapat jualan secara dalam talian?

“Kita perlu memberi tekanan kepada Facebook, TikTok dan Instagram. Mereka kena bertanggungjawab,” katanya.

Caprice pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada akaun yang dipercayai menjual dadah, termasuk bertanyakan harga atau berinteraksi dengan penjual.

Sebaliknya, beliau menggesa pengguna media sosial membuat laporan kepada pihak platform sekiranya menemukan kandungan sedemikian.

“Apabila nampak kandungan menjual dadah, laporkan. Jangan engage (berinteraksi), jangan pandai-pandai tanya soalan atau harga.

“Lebih ramai orang awam membuat laporan, lebih besar tekanan yang boleh kita berikan kepada platform,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading