PUTRAJAYA – Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Abdul Aziz yang dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang, memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Abdul Aziz menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995 dan sepanjang hampir tiga dekad dalam perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan serta ditempatkan di beberapa jabatan utama.

Antaranya termasuk Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Saifuddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis berkata, pengalaman luas Abdul Aziz turut menyaksikan beliau diberi tanggungjawab dalam beberapa jawatan strategik dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber serta Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

Selain pengalaman dalam pelbagai bidang kepolisan, Abdul Aziz turut memperkukuh pengetahuan dan profesionalismenya menerusi penyertaan dalam kursus serta seminar di peringkat antarabangsa.

Antara program yang pernah disertainya ialah The 8th International Symposium of Best Police Practice di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Intelligence Management Development Programme di Australia.

Saifuddin berkata, pengalaman, kepakaran serta kompetensi yang dimiliki Abdul Aziz menjadikannya calon yang mempunyai kemampuan kepimpinan tinggi untuk menggalas amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Kerajaan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Aziz atas pelantikan tersebut dan berharap beliau dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Sebelum ini, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dipangku Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus.

Ibrahim mengambil alih tugas berkenaan selepas Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersara wajib pada 27 Julai lalu, selepas hampir 35 tahun menabur bakti dalam PDRM.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading