KOTA BHARU – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan kandungnya berusia lima tahun dengan menyepak mangsa di sebuah kedai makan, minggu lalu.

Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan di Lot 143, Batu 2, Jalan Kuala Krai pada kira-kira jam 10.55 malam, 11 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin memohon agar tertuduh tidak diberikan jaminan kerana kes membabitkan kanak-kanak dan terdapat kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan kepada mangsa.

Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidie Akmal Hasan Basri memohon jaminan dengan memaklumkan anak guamnya telah berkhidmat dalam pasukan tentera selama 19 tahun dan mempunyai tiga anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat, termasuk tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada dan melaporkan diri di balai polis setiap dua minggu sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 22 Oktober depan bagi penyerahan dokumen.

Sebelum ini, rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai menyepak kanak-kanak di sebuah kedai makan di Kota Bharu tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading