KUALA LUMPUR- Malaysia telah dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi penggal 2026–2028.

Menurut Kementerian Luar, pemilihan diadakan pada Persidangan Agung IAEA ke-70 di Vienna, Austria yang berlangsung dari 14 hingga 18 Sept.

“Sebagai antara badan pembuat dasar utama IAEA, 35 anggota lembaga gabenor memainkan peranan penting dalam mengawasi operasi agensi, meluluskan perjanjian perlindungan serta membentuk keputusan dasar utama mengenai kerjasama yang selamat, terjamin dan damai dalam sains dan teknologi atom,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sejak menyertai IAEA pada 1969, Malaysia telah berkhidmat selama 10 penggal dalam lembaga gabenor, terbaharu sebelum ini pada 2020 hingga 2022.

“Pemilihan itu menekankan komitmen Malaysia untuk menyumbang secara aktif pengalaman dan kepakarannya yang luas dalam menyokong mandat dan peranan penting lembaga.

“Malaysia berharap untuk bekerjasama dengan negara anggota IAEA dan agensi bagi memajukan objektif pencegahan penyebaran (senjata nuklear) dan menggalakkan penggunaan tenaga nuklear yang selamat, terjamin dan aman,” menurut kenyataan itu.

IAEA merupakan organisasi antarabangsa bebas dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggalakkan penggunaan teknologi nuklear secara aman dan menghalang penggunaannya untuk tujuan ketenteraan.

— BERNAMA-ANADOLU

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading