KAJANG – Polis menahan dua lelaki tempatan selepas seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kecederaan ketika menjalankan tugasan membaca meter elektrik di Taman Bukit Segar, Cheras, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun itu ditahan sekitar 1.01 petang hari ini di kawasan Batu 9 Cheras oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 4.05 petang semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian bermula ketika mangsa sedang melakukan kerja membaca meter elektrik kira-kira 10.40 pagi.

“Mangsa yang melihat seorang rakan sekerja kemudian memanggil rakannya itu. Bagaimanapun, berlaku salah faham selepas pengadu dikatakan membuat bising sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan melibatkan dua suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada kepala, muka dan tangan selain patah sebatang gigi.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Menurut Naazron, semakan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod terdahulu berkaitan jenayah dan narkotik.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap mereka didapati negatif.

Polis turut merampas barang yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-3755508 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading