KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat memainkan peranan masing-masing dalam usaha menangani keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata kerajaan akan terus mencari pendekatan dan penyelesaian bagi mengurangkan kesan bencana berkenaan demi kesejahteraan masyarakat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau turut menunaikan solat hajat bersama kariah selepas solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, hari ini.
Solat hajat itu diadakan sebagai usaha memohon pertolongan Allah SWT agar keadaan negara kembali pulih daripada bencana jerebu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya menggunakan tenaga secara berhemah dalam keadaan semasa.
Beliau berkata, kerjasama setiap individu penting bagi memastikan penggunaan tenaga dapat diurus dengan sebaiknya.
“Saya juga mahu mengajak kesemua kita untuk sama-sama mengurus penggunaan tenaga pada saat ini, dengan secermat yang mungkin agar setiap kita memainkan peranan sebaiknya,” katanya.
Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga dan melindungi kepentingan rakyat sepanjang tempoh pemulihan daripada bencana berkenaan.


Leave a Reply