KUALA TERENGGANU – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pelancongan di Besut susulan dakwaan penipuan membabitkan pakej mengerjakan umrah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, enam individu setakat ini telah membuat laporan selepas perjalanan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit didakwa tidak seperti dijanjikan.

Menurut beliau, antara pengadu ialah seorang wanita berusia 63 tahun yang mendakwa mengalami kerugian RM15,000 selepas membuat bayaran bagi tiga peserta melalui tiga transaksi ke akaun bank yang diberikan syarikat berkenaan.

Katanya, wanita itu turut mendakwa perjalanan umrahnya telah ditangguhkan sebanyak dua kali dengan alasan masalah berkaitan visa.

“Mangsa juga mendakwa pernah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum dimaklumkan bahawa permohonan visanya tidak diluluskan,” katanya.

Mohd. Khairi berkata, lima lagi individu turut tampil membuat aduan berkaitan pakej umrah yang sama.

Jelasnya, polis kini mengambil keterangan daripada kesemua pengadu serta saksi bagi melengkapkan siasatan.

Dalam masa sama, keterangan wakil syarikat pelancongan berkenaan serta pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut akan dirakam bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading