CHANGLUN – Hasrat seorang lelaki membantu seekor anjing terbiar yang kelaparan berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia akibat jangkitan rabies selepas digigit haiwan berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian berlaku pada Ogos lalu ketika Nik Muhamad Adha Nik Zulkifli, 31, berada di Pasar Tani Kekal Changlun untuk menghantar barangan kepada isterinya yang berniaga di situ.
Menurut peniaga, Jamaliah Abdullah, 65, seekor anjing terbiar memasuki kawasan pasar ketika hujan renyai sebelum dihalau oleh beberapa peniaga.
Bagaimanapun, mangsa yang diketahui menyayangi haiwan dikatakan membeli roti dan memberikannya kepada anjing terbabit kerana kasihan melihat keadaannya.
Tidak lama selepas itu, haiwan berkenaan menggigit tangan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan pendarahan.
Jamaliah berkata, mangsa kemudian kembali ke gerai isterinya sebelum dinasihatkan mendapatkan rawatan susulan kecederaan tersebut.
“Saya tidak sangka akhirnya dia meninggal dunia. Saya sangat sedih kerana arwah seorang yang baik dan memang sayang kepada haiwan,” katanya.
Jenazah Nik Muhamad Adha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Setol pada malam Ahad.


Leave a Reply