KUALA LUMPUR – Sebanyak RM9.25 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Solidariti bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setakat pukul 10 pagi tadi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan berkenaan masih jauh daripada sasaran RM50 juta yang ditetapkan, dengan baki RM40.75 juta lagi diperlukan.
Beliau berkata, kempen mendapatkan sumbangan akan diteruskan bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, kerjasama daripada rakan-rakan serta pihak yang ingin menyumbang amat diperlukan bagi melengkapkan jumlah berkenaan.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti, hari ini.
Katanya, jumlah RM50 juta berkenaan perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib dapat dilakukan sepenuhnya.
Tabung Solidariti itu diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.


Leave a Reply