KELANA JAYA – Kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil memohon maaf kepada peminat bola sepak tanah air susulan kontroversi membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang tercetus tahun lalu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, beliau bersama barisan Exco baharu mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan permohonan maaf berkenaan kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia.

Menurutnya, FAM turut memberi perhatian terhadap aspek pengurusan dokumen pemain kebangsaan dengan memastikan proses berkenaan diperiksa secara lebih menyeluruh pada masa akan datang.

“Bagi pihak semua Exco FAM, saya ingin menyampaikan permohonan maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.

“Kami akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang sepanjang saya diberikan amanah untuk memimpin FAM,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma FAM di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata beliau akan bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mendapatkan maklumat terbaharu berkaitan kedudukan pasport tujuh pemain berkenaan.

Katanya, soal kewarganegaraan dan pengeluaran pasport berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukannya FAM.

“Oleh sebab itu, kami akan berbincang dengan KDN dan mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini supaya satu jalan penyelesaian dapat dikenal pasti,” katanya.

Tujuh pemain yang terpalit dalam isu berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading