PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam pengurusan Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (MERHROM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pengendalian pertubuhan yang tidak berdaftar.
Memetik laporan Berita Harian, Zafar Ahmad Abdul Ghani mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta memohon untuk dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), pendakwaan dibuat selepas bahagian penguatkuasaan jabatan itu menjalankan siasatan terhadap aktiviti MERHROM di media sosial.
Siasatan turut melibatkan kenyataan dan penerbitan yang dibuat tertuduh, termasuk pengenalan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
JPPM berkata semakan mendapati MERHROM tidak berdaftar dengan jabatan berkenaan, manakala Zafar juga bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar yang menggunakan nama tersebut.
Kertas siasatan berhubung perkara itu kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.
JPPM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang.
Jabatan itu turut memaklumkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua pertubuhan mematuhi Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan berkaitan.


Leave a Reply