KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menamatkan kempen Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura, namun keputusan itu masih belum memadai untuk membawa skuad negara ke final.
Malaysia mengumpul tujuh mata selepas melengkapkan tiga perlawanan, sama seperti Indonesia. Bagaimanapun, Indonesia mara ke final selepas memiliki kelebihan jumlah jaringan susulan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kecewa dengan kegagalan melangkah ke final, namun tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
Menurutnya, pemain menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan selain berjaya menampilkan corak permainan yang meyakinkan.
“Sudah tentu sedikit mengecewakan kerana kami tidak layak ke final. Tetapi pemain boleh berpuas hati dengan sikap dan cara mereka bermain.
“Mereka memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini dan kami perlu meneruskan perjalanan,” katanya.
Kemenangan besar itu turut menyaksikan Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir selain menghasilkan jumlah jaringan yang tinggi.
Cheng Hoe menyifatkan perkembangan tersebut sebagai petanda positif untuk skuad kebangsaan terus berkembang.
“Perkara paling penting ialah kami bermain dengan sangat baik dalam tiga perlawanan terakhir. Kami mampu mempertahankan gawang dan menjaringkan begitu banyak gol. Itu adalah petanda yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
Harimau Malaya selepas ini akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Cheng Hoe berkata aksi tersebut tetap penting bagi memastikan pasukan menamatkan kempen dengan keputusan positif serta memberi peluang kepada pemain meneruskan momentum.
Beliau turut mengakui ketiadaan Faisal Halim akibat kecederaan memberi kesan kepada pasukan dan berharap pemain sayap itu dapat kembali pulih dalam tempoh terdekat.
“Kami berharap Faisal akan pulih secepat mungkin. Pasukan perubatan akan melakukan segala-galanya untuk membantunya,” katanya.


Leave a Reply