JOHOR BAHRU – Kanak-kanak berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, yang mengalami kecederaan parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Batu Pahat bulan lalu, selamat menjalani pembedahan pada bahagian kepala.
Ibunya, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata prosedur selama kira-kira tiga jam itu dilakukan Selasa lalu bagi merawat bahagian kepala anaknya yang kehilangan tisu akibat serangan berkenaan.
Menurutnya, doktor mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan kawasan yang terjejas menjadi kering dan berisiko menjejaskan keadaan tengkorak.
Bagaimanapun, pembedahan itu belum melibatkan proses menutup sepenuhnya luka pada kepala Nur Haira.
“Bahagian pipi Nur Haira juga masih belum dibedah dan sebelum ini hanya dijahit,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nur Wahyuni berkata, hospital masih belum menetapkan tarikh bagi pembedahan seterusnya, termasuk prosedur tampalan kulit pada kepala serta rawatan terhadap kecederaan di bahagian pipi.
Katanya, keluarga kini menunggu perkembangan lanjut daripada pihak hospital sambil memastikan anaknya menerima rawatan dan penjagaan yang diperlukan.
Sebelum ini, media melaporkan Nur Haira cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di pekarangan rumah neneknya di Batu Pahat pada kira-kira jam 7 pagi, 5 September lalu.
Ketika kejadian, ibu bapanya dalam perjalanan ke Johor Bahru atas urusan perniagaan, manakala insiden itu disaksikan abang mangsa berusia 12 tahun yang cuba menghalau anjing berkenaan.
Serangan tersebut menyebabkan Nur Haira mengalami kecederaan serius pada kepala dan muka.
Kejadian itu turut mendapat perhatian pihak berkuasa yang mengarahkan agensi berkaitan mengambil tindakan menangani isu anjing liar di Johor.


Leave a Reply