Berikut

BATU PAHAT – Ketidakhadiran Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ketika kelas tambahan sehari sebelum ditemukan maut pada mulanya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka dalam kalangan rakan sekelasnya.

Seorang rakan yang enggan dikenali berkata, mereka menyangka pelajar Tingkatan Empat itu tidak hadir kerana kurang sihat, selepas menyedari dia tidak berada dalam kelas ketika sesi tambahan berlangsung.

Menurutnya, seorang guru turut bertanyakan mengenai Irene Sofiya, namun rakan-rakan tidak mengetahui sebab sebenar mangsa tidak hadir.

“Ketika itu kami tidak terfikir apa-apa kerana menyangka dia mungkin tidak sihat. Saya hanya mengetahui kemudian bahawa Irene Sofiya tidak pulang ke rumah.

“Ada beberapa pelajar perempuan yang pada awalnya mengesyaki sesuatu, tetapi perkara itu tidak dijelaskan kepada kami,” katanya ketika ditemui.

Katanya, keadaan mula menimbulkan persoalan apabila guru berkenaan menghubungi pelajar seorang demi seorang untuk mendapatkan maklumat mengenai waktu kelas tambahan bermula dan berakhir selepas Maghrib.

Selepas ditanya mengenai perkara itu, guru berkenaan memaklumkan sesuatu yang buruk telah berlaku di sekolah berkenaan.

“Saya sangat terkejut dan langsung tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Menurut rakan itu, Irene Sofiya merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah dan dilihat mempunyai peluang cerah untuk memperoleh keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Katanya, mangsa juga seorang pelajar yang memberi tumpuan terhadap pelajaran selain aktif menyertai pelbagai kegiatan sekolah.

“Kami masih teringat wajahnya dan sukar menerima hakikat bahawa kami sudah kehilangan seorang rakan yang begitu baik,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, Irene Sofiya ditemukan maut dengan kecederaan pada tubuh di dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Mangsa ditemukan nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari dia masih belum pulang walaupun sesi kelas tambahan telah tamat.

Difahamkan, Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui, terdapat kesan darah kering pada tubuh mangsa selain beberapa kesan lebam yang dipercayai akibat dipukul.

Polis turut menemukan sebuah pasu yang pecah berhampiran lokasi mangsa ditemui.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading